Kepada pembaca yang budiman.

Saya mengharapkan kepada mana-mana pembaca blog yang mengetahui,memiliki atau mewarisi info berkaitan Permainan Mat Kelang di tempat tuan/puan, atau di mana sahaja ceruk rantaunya, saya berbesar hati sekiranya maklumat tersebut dapat disalurkan kepada saya secara email dan di talian untuk kita kaji dan kongsi bersama.
wpmkresources@gmail.com
http://www.facebook.com/people/Sang-Wingit-Sabdajadi/100000270806246
0196548189(SMS)

Followers

Thursday, October 7, 2010

Mat Kelang: Sejarah diri Mahaguru.(BAH 1)

       Pukulan Mat Kelang, satu nama yang pernah gah di sekitar Kelang Selangor,Melaka, Johor dan Singapura, merupakan satu nama perguruan pukulan yang mempunyai ribuan anak murid, dari dahulu hingga kini, serta warisannya ada dipelihara secara diskrit, dan ada yang menggabungkan dengan permainan yang lain, hingga mewujudkan nama dan gerak yang baru. Apapun aliran dan perubahannya, legasi permainan ini tetap utuh dan terpelihara, selagi petua, kaedah, daerah dan tertib permainannya dijaga, ia tetap dipanggil Pukulan Mat Kelang.


       Disini terdapat persoalan pokok mengenai Pukulan ini iaitu : Siapakah Mat Kelang? Disini saya akan menghuraikan biografi asas mengenai Mat Kelang termasuk jurai keturunan beliau yang masih ada dimana ini sangat penting untuk rujukan masa hadapan. Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan kurniaNya, saya dapat menjejaki waris Mat Kelang yang sebenar serta melengkapkan kajian saya mengenai keturunan Mat Kelang yang asal. Dengan bantuan guru tua saya yang disayangi, Guru Abas Dagang,(Yang merupakan salah seorang yang masih hidup dan pernah bertemu dengan Arwah Mat Kelang direct) kami menjejaki keturunan asal waris Mat Kelang ini hingga membawa kami ke luar Melaka. Pertemuan yang tak dirancang , menjadi satu usaha ikhlas untuk menemui waris dan jejak Mat Kelang di Melaka bumi bertuah ini. Saya bersama Pak Abas dan atuk saya Azizi, telah menemui waris Arwah mat Kelang yang merangkap cucu Arwah bernama Hj Abdul Hamid bin Yunus(73 tahun). Malah, beliau juga boleh dianggap sebagai menantu Mat Kelang(!) kerana beliau berkahwin dengan anak angkat Arwah sendiri iaitu Hjh Fatimah binti Ahmad(63 tahun) yang dikenali sebagai Mak Leily. pertemuan ini terjadi apabila kami mula mencari tapak asal rumah Arwah di Nyalas. Cari punya cari, kami melepak di kedai minum di Simpang Nyalas bersembang dengan orang-orang tua di Nyalas. Pak Abas tak bertangguh terus bertanya dengan mereka dimana rumah arwah di Nyalas. Ada dua orang asal yang membantu kami bagi direction rumah Arwah(Rujuk gambar). Selepas bayar, kami terus bergerak menuju jalan yang menghala ke  Gobah.
Bila kami sampai di rumah arwah, kami  agak sedih sebab tuan rumah tak ada. Kami lihat rumah arwah agak bersih tetapi tiada orang. Dipercayai disinilah lokasi asal rumah keluarga arwah dan tempat lahir arwah juga disini. Saya Menulis satu nota beserta no telefon saya dan tinggalkan di mailbox rumah Arwah, dengan harapan ada orang yang akan hubungi saya. Selang 3 hari saya mendapat panggilan dari Haji Ab Hamid dan seterusnya tautan Mahabbah bermula. Selepas mengatur rancangan, saya, Pak Abas dan Atuk saya, Azizi telah berkunjung ke rumah Haji Hamid yang terletak di Keramat. Kami telah bertemu dengan keluarga Hj Ab Hamid dan termasuk Mak Leily. Mereka sangat ramah, dan terkejut dengan tujuan kami yang datang untuk mengkaji keturunan Mat Kelang. Dibawah ini adalah penerangan salahsilah waris Mat Kelang dan jurai keturunan Arwah hasil dari penerangan Hj Ab Hamid dan Mak Leily, srta Ahmad bin Jantan, cucu Mat Kelang di Kesang Tua.





       Arwah Mat Kelang atau nama asalnya Ahmad Bin Sulong ( beliau digelar Tok Uban oleh anak cucunya) dipercayai telah dilahirkan pada penghujung abad ke 19(1880- 1900) di Nyalas, Melaka. Beliau berketurunan Bugis dan  mempunyai dua beradik iaitu Muhammad bin Sulong(abang) dan Salim bin Sulong(adik). Arwah Salim ini merupakan bapa saudara kepada Pak Abas Dagang kerana Salim telah berkahwin dengan Besah, iaitu merupakan kakak kepada ibu Pak Abas. Mat kelang telah berkahwin sebanyak dua orang isteri, iaitu Kecut(Chot)(Meninggal di Singapura) dan Mahani Binti Nayan(asal Singapura keturunan Boyan). Dari isteri Chot ini Arwah Mat Kelang mempunyai dua orang anak, iaitu Mak Nah(NekNah) dan Jalil(dibesarkan di Singapura dan meninggal di situ juga..isterinya bernama Buntat).  Dari isteri Mahani pula Arwah mendapat 3 orang anak, iaitu  Hj Jantan/Atan(pemandu bas MOS, tinggal di Kesang Tua berhampiran Kubur Arwah Mat Kelang), Taib(Yeb) dan Zaiton(Meninggal waktu melahirkan anak). Selepas Zaiton meninggal, Mahani telah mengambil Mak Leily sebagai anak angkat. Sehinggalah Mak Leily dewasa, beliau telah berkahwin dengan Hj Ab Hamid anak Mak Nah. Mereka berdua telah dikurniakan dua orang anak iaitu Azhar(41 tahun) dan Norazah.
       Semasa muda Arwah Mat Kelang telah merantau di merata tempat, sehingga beliau dikatakan pernah sampai ke negara China, India dan Indonesia. di tempat- tempat persinggahan ini, beliau mempelajari pelbagai beladiri, termasuk kebatinan khususnya semasa berada di Indonesia, terutama di Riau. Namun,  sebelum arwah merantau sebegitu jauh, beliau telah merantau ke Selangor dan berkerja di bahagian Perlombongan Bijih Timah yang ditadbir oleh keluarga mendiang Yap Ah Loy(Meninggal pada tahun 1885). Pada waktu ini, beliau masih muda tidak mempunyai sebarang permainan, dan dikatakan beliau rapat dengan kebanyakan  pendekar-pendekar yang diupah untuk menjadi pengawal upahan escort penghantaran Bijih Timah ke merata tempat menggunakan kapal. Diceritakan pendekar-pendekar ini yang terdiri dari Melayu dan Cina suka berjudi di waktu lapang.Terdapat seorang pendekar Bugis yang terlibat dengan aktiviti mengarut ini, dan beliau kerap mengalami kekalahan.apabila beliau kalah, beliau akan bertemu Mat Kelang dan meminjam wang darinya(Beliau sangat rapat dengan Mat Kelang). Oleh kerana hutang semakin banyak dan beliau tidak mampu untuk membayarnya, Pendekar Bugis tersebut telah menawarkan kepada Mat Kelang iaitu beliau akan mengajar Mat Kelang pukulan beliau sebagai ganti membayar hutang kepada Mat Kelang. Mat Kelang bersetuju dan sejak Itu ilmu pukulan bermula...

       Diceritakan bahawa beliau telah diajar oleh pendekar bugis ini diatas tanah dan ditamatkan diatas perahu kolek muat dua orang. Menurut Pak Abas, Pendekar bugis itu telah belajar permainan pukulan dari seorang Cina Islam yang berasal dari Cina, dan akhirnya ia diturunkan kepada Mat Kelang. Oleh itu, boleh dikatakan permainan Pukulan Mat Kelang ini berasal dari Cina dan apatah lagi, dipercayai Pendekar Bugis ini juga mengajar selok belok kependekaran Melayu,petua dan ilmu selain permainan Cina itu. Selepas tamat, diceritakan Mat Kelang menguji permainan beliau dengan memukul seorang Negro Afrika yang kerek(kemungkinan pelaut) sehingga tumbang. Sejak itu, nama beliau gah dan dimana saja beliau merantau, beliau telah mencari ilmu tambahan zahir dan bathin serta menurunkan permainan ini( dikatakan beliau pernah mengajar di indonesia, dan pernah seorang tua yang datang sewaktu Arwah Hj Jantan Meninggal,mendakwa beliau merupakan seperguruan dengan Arwah Mat Kelang dan mereka berdua pernah ke Riau menuntut ilmu bersama-seperti diceritakan oleh Ahmad Bin Jantan, cucu Mat Kelang)). Dipercayai juga sewaktu beliau ke China, beliau telah bertemu dengan Guru Cina Muslim yang mengajar Pendekar Bugis terbabit serta menelaah dengan beliau.Apabila Mat Kelang kembali ke Tanahair, beliau telah bermastautin di Singapura dan bertugas sebagai Polis Singapura berpangkat Koperal dimana pada waktu ini beliau mengajar disana sehingga bersara dari polis ..

(Bersambung selepas ini.)

No comments:

Post a Comment